Akaun Surau: MAYBANK ISLAMIC: 558453102171

Sumbangan ikhlas tuan puan sangat dialu-alukan. Mudah-mudahan setiap sen sumbangan bakal dikira sebagai amal soleh, Insya-Allah...

No. akaun: Maybank Islamic 558453102171

e-mel: surauhidayahipoh@gmail.com


nota: klik mana-mana gambar untuk paparan skrin penuh

Friday, August 23, 2013

RUMAH TERBUKA RAYA 2 SEPTEMBER 2013 / 25 SYAWAL 1434

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Surau al-Hidayah, Ipoh sebentar tadi bersetuju untuk melaksanakan program sambutan hari raya seperti tarikh di atas. Majlis bermula pada pukul 8.00 malam dan berakhir dua jam kemudian. Antara juadah yang bakal dihidangkan termasuk sate, nasi impit, lemang, ayam rendang, kuetiau goreng dan biskut raya. Minuman pilihan ialah teh tarik dan air sirap.
jawatankuasa khas rumah terbuka hari raya puasa

Ahli kariah dan pembaca blog ini dijemput hadir bersama keluarga. Majlis sambutan kali ini diadakan pada sebelah malam setelah mengambil kira kesibukan ahli kariah pada hari hujung minggu dan juga masih ada yang belum selesai puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Sesungguhnya majlis yang dirancangkan itu ialah suatu ibadah, selain mengukuhkan ikatan silaturrahim dalam kawasan kejiranan Surau al-Hidayah.

Friday, August 2, 2013

RINDU PADA LAILATUL QADR: TAZKIRAH USTAZ NIZAM

Ipoh, Jumaat: 24 Ramadan 1434 = 2 Ogos 2013

Kisah seorang budak darjah tiga yang sanggup mengayuh basikal berpuluh-puluh kilometer untuk menjenguk ibunya di penjara membuka tirai bicara tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan khas, Ustaz Nizam. Walaupun ditangkap berkali-kali kerana menyusup basikal milik murid lain demi melunas rindu kasih ibu, kanak-kanak itu tidak pernah berputus asa. Kasih sayang dan pengorbanan si ibu memanifestasikan rasa rindu yang tidak tertahan.
tazkirah setengah jam Ustaz Nizam

Kisah benar itu kemudian dikaitkan dengan rindu terhadap Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam yang terlah berkorban untuk umat sehingga memungkinkan kita menikmati iman pada hari ini. Demikian juga rindu terhadap Lailatul Qadr yang disebut dalam surah khusus yang pendek sahaja. Ustaz Nizam mengajak diri beliau sendiri dan jemaah yang hadir agar memupuk perasaan rindu yang berkenaan.
jemaah muda menunjukkan minat

Ustaz Nizam juga menarik perhatian bahawa puasa memang sinonim dengan kelaparan, justeru banyak peristiwa perang berlaku pada bulan puasa. Lapar perlu dirasakan supaya timbul perasaan insaf terhadap susah payah perjuangan generasi awal dan juga kehidupan masyarakat yang serba daif. Sebelum itu, Ustaz Nizam turut memimpin solat tarawih dan bacaan doa agar Ramadan kali ini yang terbaik sebagai anak kunci pintu syurga, amin!

Friday, July 12, 2013

PROGRAM IFTAR RAMADAN DAN TARAWIH 1434 HIJRAH

Ramadan datang lagi. Sepertimana tahun-tahun yang lalu, kariah surau meneruskan tradisi majlis berbuka puasa sebagai landasan program menghidupkan Ramadan al-Mubarak. Setakat ini 17 slot majlis berbuka puasa telah ditempah oleh ahli kariah dan dermawan yang lain.
jadual iftar. sila klik pada gambar untuk paparan penuh.

Jemaah mula tiba di surau kira-kira setengah jam sebelum waktu berbuka puasa. Majlis dipenuhi dengan bacaan tahlil dan doa justeru pada waktu hampir berbuka puasa doa insya-Allah mustajab. Generasi muda diberi kepercayaan bagi menerajui tahlil dan doa berkenaan.
Jumlah kehadiran ialah antara 60 hingga 80 orang jemaah pada hari bekerja dan boleh mencapai jumlah 120 orang jemaah pada hujung minggu. Kaum wanita dan ank kecil juga turut hadir.
Bagi memudahkan penyediaan makanan dan minuman, urusan diserahkan kepada penyedia hidangan sepenuh masa. Kebiasaannya, hidangan nasi putih bersama ayam, ikan dan kuih-muih seadanya sudah merupakan rezeki yang melimpah ruah. Sesekali terdapat hidangan nasi beryani, nasi tomato dan sebagainya, di samping minuman teh tarik dan air sirap.

Waktu solat Maghrib lebih kurang pukul lapan malam, waktu Isyak 8.45 malam dan solat tarawih bermula pukul 9.00 malam. Majlis bersurai kira-kira pukul 10.15 malam usai solat witr dan wirid ringkas. Sebahagian anggota jemaah terus berada di surau bagi menjayakan majlis tadarus al-Qur'an...

Tuesday, June 4, 2013

DR. ROSLI SAHAT DALAM KENANGAN

Ipoh, Selasa: 4/6/13 = 25 Rejab 1434

Jemaah Surau al-Hidayah kehilangan sahabat yang aktif dan istiqamah, iaitu Dr. Rosli bin Sahat, 54. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir semasa menjalani prosedur rawatan susulan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.45 petang tadi. Jenazah selamat tiba di rumah yang terletak bersebelahan surau sebelum waktu Maghrib.

Usai solat jenazah, urusan pengkebumian segera dilaksanakan. Anggota keluarga, sahabat handai dan jemaah surau turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Gurap di Jalan Kuala Kangsar. Bacaan talkin dan tahlil dipimpin oleh pengerusi surau, Ustaz Zulkifli.

Antara sahabat Allahyarham yang kelihatan ialah Tuan Abdul Ghani bin Niza, Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan yang juga rakan sekerja semasa di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh  Star) hingga tahun 1993. Rakan karib di Jabatan penyelidikan, Institut Perguruan (IPG) Ipoh, Dr. Badrul Hisham juga hadir. Wakil JPN Perak yang kelihatan ialah Encik Ameruddin bin Khairi, dari Unit Naik Pangkat.

Allahyarham Dr. Rosli Sahat pada mulanya guru latihan maktab perguruan sebelum menyambung pengajian ijazah asas di Fakulti Sastera dan Sain Sosial, Universiti Malaya. Setelah beberapa tahun bertugas di Star, Allahyarham dianugerahkan biasiswa program sarjana Institut Aminuddin Baki-Houston University, USA. Ketika di IPG, Allahyarham sekali lagi dianugerahkan biasiswa pengajian doktor falsafah (Ph.D) di sebuah universiti terkenal di United Kingdom dan tamat pengajian pada tahun 2002.

Bidang kepakaran Allahyarham ialah profesionalisme keguruan dan penyelidikan pendidikan. Allahyarham tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman dalam bidang kepakaran beliau. Semoga roh Allahyarham Dr. Rosli bin Sahat ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang soleh dan diredhai-Nya. Amin...

Nota: gambar Allahyarham: lihat 'posting' 7.11.2011 dan 11.10.2010 di laman blog ini.

Sunday, April 14, 2013

DEWAN SOLAT PINDAH KE ARAS BUMI

Ipoh, Ahad:  14/4/13

Atas kepentingan jemaah, jawatankuasa Surau al-Hidayah bersetuju untuk memindahkan dewan solat dari aras satu yang dihubungkan melalui tangga ke aras bumi. Proses gotong-royong pemindahan dilaksanakan mulai pukul 8.30 pagi tadi. Kerja berkenaan berjaya diselesaikan sebelum masuk waktu Zuhur.
doa kesyukuran
kerja teknikal oleh Pak Hashim
berehat sebentar melepaskan lelah
tradisi jabat salam usai solat berjemaah

...

...

Saturday, February 2, 2013

ISLAM PALING TERTINDAS - CIKGU AZMI TERAS

Ipoh, Sabtu: 21 Rabiul-Awal 1434 // 2.1.2013

...
Cikgu Azmi sarat data
...

...
remaja dan bekas remaja

...
sebahagian muslimat

...
skrin lintas langsung aras bumi

...
nasi beryani gam dan teh tarik

...

Friday, December 7, 2012

APLIKASI PERISTIWA HIJRAH DALAM CERAMAH USTAZ MUNAWWIR

Ipoh, Jumaat: 7/12/12 = 23 Muharam 1434

Buat julung-julung kalinya Sahibul-Fadilah as-Syeikh Ustaz Munawir, pengetua sebuah sekolah agama negeri di Felda Lasah berjaya dibawa mengisi program ceramah Ma'al-Hijrah. Ustaz Munawir masih muda, baharu mencecah usia awal 40-an, bekas murid Izzuddin Shah, Ipoh dan bergraduat dari Mesir. Ustaz Munawir memang dikenali kerana sering diundang memenuhi majlis ilmu di seluruh  negeri Perak dan sebahagian tersiar menerusi saluran radio Perak.fm.
Penyampaian Ustaz Munawir begitu bersahaja dan santai, serta disulam dengan pengalaman sebenar dalam nada kelakar, tetapi sarat dengan mesej yang mendalam. Beliau begitu dikenali dengan dialek Parit, serta kata ganti nama 'aku' sebagai lambang kemesraan dan dekat dengan khalayak. Sebagai guru yang sudah masak dengan tumpuan majlis, ceramah Ustaz Munawir hanya mengambil masa satu jam.
Ustaz Munawir mengingatkan jemaah supaya sentiasa berhati-hati dengan hujah golongan jahil yang tidak mahu kegiatan lagha mereka diganggu dengan alasan mereka tidak pernah mengganggu majlis orang baik-baik. Keadaan itu persis hujah golongan jahiliyyah Quraisy yang tergugat dengan kehadiran dakwah rasulullah Salallahu alaihi wasallam. Justeru, di samping melaksanakan kebaikan (al-amr bi'l-ma'ruf), umat mesti juga mencegah keburukan (an-nahyu ani'l-munkar) walaupun akan dibenci oleh golongan yang ingkar.
Ustaz Munawir juga membidas hujah sesetengah golongan bahawa rezeki dan keselamatan berpunca daripada jasa pihak-pihak tertentu, sehingga tergamak untuk lupa akan hakikat kekuasaan Allah. Beliau mengajak jemaah mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah yang memaparkan jiwa besar generasi awal Madinah yang menyambut Nabi. Pengorbanan para sahabat dan petunjuk sirah tentang peristiwa hijrah perlu dipelajari dan diaplikasi dalam konteks persekitaran semasa.