Akaun Surau: MAYBANK ISLAMIC: 558453102171

Sumbangan ikhlas tuan puan sangat dialu-alukan. Mudah-mudahan setiap sen sumbangan bakal dikira sebagai amal soleh, Insya-Allah...

No. akaun: Maybank Islamic 558453102171

e-mel: surauhidayahipoh@gmail.com


nota: klik mana-mana gambar untuk paparan skrin penuh

Friday, December 7, 2012

APLIKASI PERISTIWA HIJRAH DALAM CERAMAH USTAZ MUNAWWIR

Ipoh, Jumaat: 7/12/12 = 23 Muharam 1434

Buat julung-julung kalinya Sahibul-Fadilah as-Syeikh Ustaz Munawir, pengetua sebuah sekolah agama negeri di Felda Lasah berjaya dibawa mengisi program ceramah Ma'al-Hijrah. Ustaz Munawir masih muda, baharu mencecah usia awal 40-an, bekas murid Izzuddin Shah, Ipoh dan bergraduat dari Mesir. Ustaz Munawir memang dikenali kerana sering diundang memenuhi majlis ilmu di seluruh  negeri Perak dan sebahagian tersiar menerusi saluran radio Perak.fm.
Penyampaian Ustaz Munawir begitu bersahaja dan santai, serta disulam dengan pengalaman sebenar dalam nada kelakar, tetapi sarat dengan mesej yang mendalam. Beliau begitu dikenali dengan dialek Parit, serta kata ganti nama 'aku' sebagai lambang kemesraan dan dekat dengan khalayak. Sebagai guru yang sudah masak dengan tumpuan majlis, ceramah Ustaz Munawir hanya mengambil masa satu jam.
Ustaz Munawir mengingatkan jemaah supaya sentiasa berhati-hati dengan hujah golongan jahil yang tidak mahu kegiatan lagha mereka diganggu dengan alasan mereka tidak pernah mengganggu majlis orang baik-baik. Keadaan itu persis hujah golongan jahiliyyah Quraisy yang tergugat dengan kehadiran dakwah rasulullah Salallahu alaihi wasallam. Justeru, di samping melaksanakan kebaikan (al-amr bi'l-ma'ruf), umat mesti juga mencegah keburukan (an-nahyu ani'l-munkar) walaupun akan dibenci oleh golongan yang ingkar.
Ustaz Munawir juga membidas hujah sesetengah golongan bahawa rezeki dan keselamatan berpunca daripada jasa pihak-pihak tertentu, sehingga tergamak untuk lupa akan hakikat kekuasaan Allah. Beliau mengajak jemaah mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah yang memaparkan jiwa besar generasi awal Madinah yang menyambut Nabi. Pengorbanan para sahabat dan petunjuk sirah tentang peristiwa hijrah perlu dipelajari dan diaplikasi dalam konteks persekitaran semasa.

Friday, August 17, 2012

ZAKAT FITRAH BOLEH DIBAYAR DI SURAU AL-HIDAYAH

Majlis Hal Ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (Maip) telah dengan rasminya melantik Tuan Haji Hassan bin Mohd Dom sebagai amil zakat fitrah bagi kariah surau al-Hidayah. Beliau telah mula membuka kaunter mini urusan bayaran zakat fitrah sejak hujung minggu pertama Ramadan. Pelantikan berkuat kuasa mulai tahun 1433 Hijriyyah dan tahun-tahun seterusnya.
Berdasarkan pangkalan data jawatankuasa surau, terdapat kira-kira 120 buah keluarga Islam tinggal di Taman Desa Indah, Taman Ipoh Jaya Timur dan Taman Seri Ampang. Bidang tugas amil bakal diperluaskan untuk urusan perundingan zakat harta setelah menjalani proses tauliah oleh pihak Majlis. Semoga perkhidmatan amil kariah surau bakal memudahkan urusan menunaikan rukun Islam keempat itu, insya-Allah...

Friday, August 3, 2012

IFTAR RAMADAN 1433H

Majlis berbuka puasa anjuran surau bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahmi antara ahli kariah. Para dermawan juga berpeluang menyumbang amalan mulia sempena bulan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka itu. Kanak-kanak juga dilatih supaya meramaikan majlis dan mendirikan solat berjemaah.
Jadual giliran tuan rumah majlis iftar disusun oleh jawatankuasa khas yang berkenaan. Selain tajaan individu dan kumpulan, pihak surau sendiri turut menganjurkan empat kali majlis iftar menerusi sumbangan ahli kariah.   Selain paparan di papan putih surau, pengumuman jemputan menerusi pembesar suara juga dilakukan.
Antara waktu mustajab doa ialah ketika hampir berbuka puasa. Jemaah hadir ke surau mulai pukul 7.00 petang untuk bacaan tahlil dan doa. Pada tahun ini, waktu iftar ialah pada 7.34 dan berubah dalam jajaran kecil setiap tiga empat hari.

Tertib dan kesabaran yang tinggi ditunjukkan ketika jemaah mengambil giliran mendapatkan makanan masing-masing. Kepekaan terhadap sahabat di belakang barisan panjang dibuktikan dengan pengambilan makanan secara sederhana. Jika masih berbaki setelah semua jemaah mengambil makanan, baharulah ada "pusingan kedua".
Purata harian kehadiran jemaah ke majlis iftar Surau al-Hidayah ialah 40 orang lelaki dan 30 orang wanita. Hidangan secara buffet ditempah daripada penyedia sajian makanan berdaftar. Jemaah yang ditemui menzahirkan rasa syukur atas kemurahan rezeki Ramadan yang melimpah ruah, dan berharap dapat menghayati Ramadan dengan amalan soleh dan diredai Allah...

Monday, May 28, 2012

UBAH SUAI TANGGA SURAU

Ipoh, Isnin: 28 Mei 2012 / 7 Rejab 1433

Ketika Surau Al-Hidayah mula didirikan, pembeli rumah di Taman Desa Indah baharu mencecah usia 30-an. Setelah lebih dua dekad, masing-masing sudah memasuki fasa usia prapersaraan. Para jemaah harus mendaki tangga untuk ke ruang solat yang terletak di aras atas.
kecerunan tangga sedia ada

Atas pertimbangan jemaah penyayang, maka perubahan perlu dilakukan supaya kumpulan orang lama surau tetap berasa selesa. Kecerunan tangga yang lebih landai kini diperlukan. Pemegang yang lebih mesra jemaah di kedua-dua sisi tangga juga perlu dipasang.
perbincangan yang teliti

Sebentar tadi (selepas solat Isyak), satu mesyuarat jawatankuasa teknikal telah diadakan. Langkah ubah suai tangga ialah perubahan yang bersifat sementara, sebelum projek naik taraf surau sepenuhnya dapat dilaksanakan. Pandangan para jemaah dan penduduk kariah Taman Desa Indah, Taman Ipoh Jaya Timur, Taman Seri Ampang dan kawasan berdekatan bakal diambil kira...

Sunday, February 12, 2012

CERAMAH MAULID 1433 USTAZ MOHD HURI BIN ALIAS, MASJID HOSPITAL


penceramah serba boleh
sebelah kanan penceramah
sebelah kanan menghadap penceramah
tangan yang menggoncang dunia

Monday, January 30, 2012

PENGISIAN PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1433

Ahli kariah dan orang ramai dijemput menyertai aktiviti yang disenaraikan di bawah:

7.2.2012:  Gotong-royong di rumah Saudara Faiz Choo (253, Jalan Queen, Pasir Pinji)

11.2.2012:  Gotong-royong di perkarangan surau al-Hidayah, Taman Desa Indah, Ipoh

12.2.2012:  Ceramah Maulid:  Ustaz Huri dari Masjid Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Keterangan lanjut sila hubungi setiausaha menerusi e-mel: surauhidayahipoh@gmail.com