Akaun Surau: MAYBANK ISLAMIC: 558453102171

Sumbangan ikhlas tuan puan sangat dialu-alukan. Mudah-mudahan setiap sen sumbangan bakal dikira sebagai amal soleh, Insya-Allah...

No. akaun: Maybank Islamic 558453102171

e-mel: surauhidayahipoh@gmail.com


nota: klik mana-mana gambar untuk paparan skrin penuh

Friday, August 17, 2012

ZAKAT FITRAH BOLEH DIBAYAR DI SURAU AL-HIDAYAH

Majlis Hal Ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (Maip) telah dengan rasminya melantik Tuan Haji Hassan bin Mohd Dom sebagai amil zakat fitrah bagi kariah surau al-Hidayah. Beliau telah mula membuka kaunter mini urusan bayaran zakat fitrah sejak hujung minggu pertama Ramadan. Pelantikan berkuat kuasa mulai tahun 1433 Hijriyyah dan tahun-tahun seterusnya.
Berdasarkan pangkalan data jawatankuasa surau, terdapat kira-kira 120 buah keluarga Islam tinggal di Taman Desa Indah, Taman Ipoh Jaya Timur dan Taman Seri Ampang. Bidang tugas amil bakal diperluaskan untuk urusan perundingan zakat harta setelah menjalani proses tauliah oleh pihak Majlis. Semoga perkhidmatan amil kariah surau bakal memudahkan urusan menunaikan rukun Islam keempat itu, insya-Allah...

Friday, August 3, 2012

IFTAR RAMADAN 1433H

Majlis berbuka puasa anjuran surau bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahmi antara ahli kariah. Para dermawan juga berpeluang menyumbang amalan mulia sempena bulan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka itu. Kanak-kanak juga dilatih supaya meramaikan majlis dan mendirikan solat berjemaah.
Jadual giliran tuan rumah majlis iftar disusun oleh jawatankuasa khas yang berkenaan. Selain tajaan individu dan kumpulan, pihak surau sendiri turut menganjurkan empat kali majlis iftar menerusi sumbangan ahli kariah.   Selain paparan di papan putih surau, pengumuman jemputan menerusi pembesar suara juga dilakukan.
Antara waktu mustajab doa ialah ketika hampir berbuka puasa. Jemaah hadir ke surau mulai pukul 7.00 petang untuk bacaan tahlil dan doa. Pada tahun ini, waktu iftar ialah pada 7.34 dan berubah dalam jajaran kecil setiap tiga empat hari.

Tertib dan kesabaran yang tinggi ditunjukkan ketika jemaah mengambil giliran mendapatkan makanan masing-masing. Kepekaan terhadap sahabat di belakang barisan panjang dibuktikan dengan pengambilan makanan secara sederhana. Jika masih berbaki setelah semua jemaah mengambil makanan, baharulah ada "pusingan kedua".
Purata harian kehadiran jemaah ke majlis iftar Surau al-Hidayah ialah 40 orang lelaki dan 30 orang wanita. Hidangan secara buffet ditempah daripada penyedia sajian makanan berdaftar. Jemaah yang ditemui menzahirkan rasa syukur atas kemurahan rezeki Ramadan yang melimpah ruah, dan berharap dapat menghayati Ramadan dengan amalan soleh dan diredai Allah...