Ipoh, Selasa: 4/6/13 = 25 Rejab 1434
Jemaah Surau al-Hidayah kehilangan sahabat yang aktif dan istiqamah, iaitu Dr. Rosli bin Sahat, 54. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir semasa menjalani prosedur rawatan susulan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.45 petang tadi. Jenazah selamat tiba di rumah yang terletak bersebelahan surau sebelum waktu Maghrib.
Usai solat jenazah, urusan pengkebumian segera dilaksanakan. Anggota keluarga, sahabat handai dan jemaah surau turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Gurap di Jalan Kuala Kangsar. Bacaan talkin dan tahlil dipimpin oleh pengerusi surau, Ustaz Zulkifli.
Antara sahabat Allahyarham yang kelihatan ialah Tuan Abdul Ghani bin Niza, Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan yang juga rakan sekerja semasa di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh Star) hingga tahun 1993. Rakan karib di Jabatan penyelidikan, Institut Perguruan (IPG) Ipoh, Dr. Badrul Hisham juga hadir. Wakil JPN Perak yang kelihatan ialah Encik Ameruddin bin Khairi, dari Unit Naik Pangkat.
Allahyarham Dr. Rosli Sahat pada mulanya guru latihan maktab perguruan sebelum menyambung pengajian ijazah asas di Fakulti Sastera dan Sain Sosial, Universiti Malaya. Setelah beberapa tahun bertugas di Star, Allahyarham dianugerahkan biasiswa program sarjana Institut Aminuddin Baki-Houston University, USA. Ketika di IPG, Allahyarham sekali lagi dianugerahkan biasiswa pengajian doktor falsafah (Ph.D) di sebuah universiti terkenal di United Kingdom dan tamat pengajian pada tahun 2002.
Bidang kepakaran Allahyarham ialah profesionalisme keguruan dan penyelidikan pendidikan. Allahyarham tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman dalam bidang kepakaran beliau. Semoga roh Allahyarham Dr. Rosli bin Sahat ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang soleh dan diredhai-Nya. Amin...
Nota: gambar Allahyarham: lihat 'posting' 7.11.2011 dan 11.10.2010 di laman blog ini.