Akaun Surau: MAYBANK ISLAMIC: 558453102171

Sumbangan ikhlas tuan puan sangat dialu-alukan. Mudah-mudahan setiap sen sumbangan bakal dikira sebagai amal soleh, Insya-Allah...

No. akaun: Maybank Islamic 558453102171

e-mel: surauhidayahipoh@gmail.com


nota: klik mana-mana gambar untuk paparan skrin penuh

Monday, November 7, 2011

IBADAH KORBAN 1432

Ipoh, Ahad: 6.11.11 / 10 Zulhijjah 1432

Usai solat sunat Eidul Adha, acara korban segera dimulakan. Sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan. Sejumlah 19 orang peserta berdaftar untuk ibadah korban kali ini.
Lafaz akad perlu dilakukan terlebih dahulu antara peserta dengan wakil penganjur. Dalam gambar di atas, Cikgu Sazali Said berjabat tangan dan melafazkan akad dengan Cikgu Zul yang melaksanakan proses sembelihan. Skrip telah disediakan bagi memudahkan urusan.
Seterusnya, kerja menumbangkan lembu perlu dirancang dengan teliti supaya tidak menyakiti sang lembu dan juga bagi mengelakkan sebarang kemungkinan luar jangkaan. Petugas yang dilantik memang sudah mahir dengan teknik terbaik. Bantuan daripada remaja juga sangat penting. 
Dalam masa yang sama, persediaan lokasi sembelihan turut dilakukan. Peranan tukang cangkul yang mahir akan memudahkan kerja sembelihan. Tukang sembelih akan menyukat dalam dan lebar lubang supaya tugas yang diamanahkan selesai seberapa cepat dan tepat.
Semua lembu sembelihan kelihatan pasrah dengan tuah terpilih sebagai binatang korban yang bakal menjadi kenderaan di syurga kelak. Sembelihan disempurnakan oleh Cikgu Zul dengan bantuan sejumlah ahli kariah yang lain termasuk remaja. Kedengaran takbir raya dialunkan ketika proses korban berlangsung.

Jamuan istimewa tengah hari disediakan oleh "Chef" Tuan Syed Shiekh. Jawatankuasa program telah bertungkus-lumus menjayakan ibadah korban. Mudah-mudahan ibadah korban yang dilakukan dengan ikhlas diterima oleh Allah...

Saturday, September 24, 2011

"RUMAH TERBUKA" AIDIL FITRI 1432

Ipoh, Ahad: 24.9.11 / 26 Syawal 1432

Majlis ramah mesra hari raya anjuran Surau Al-Hidayah bertujuan mengukuhkan ukhuwwah dalam kalangan ahli kariah dan menjalin muhibah dengan penduduk kawasan kejiranan. Jamuan bermula sebaik usai solat Asar. Juadah yang disediakan mengikut tema hari raya, iaitu menu tradisi seperti lemang dan nasi impit, berserta rendang, kuah kacang dan kari ayam.
maap ler, tanda harga dah fix, hari ini percuma!!!

Selain itu, laksa juga mendapat perhatian pengunjung. Seperti biasa, gerai cendol Asyraf juga laris seperti tahun lalu. Pengunjung kanak-kanak lebih tertumpu kepada sate, hingga tidak berbaki.
tetamu khas, Encik Khusairi, setiausaha Masjid Solatiah

Kerusi plastik baharu digunakan bagi menggantikan kerusi "besi" lama yang mengalami keusangan dan telah dilupuskan berdasarkan tatacara kewangan yang diperuntukkan terhadap harta sumbangan masyarakat. Dengan stok kerusi meja, dan peralatan asas untuk majlis jamuan ringkas, segala kemudahan yang ada boleh dimanfaatkan oleh sekalian penduduk kariah. Ruang makan surau boleh memuatkan hingga 150 orang tetamu pada satu-satu masa.
Encik Sazali (bersongkok) melayan jemputan

Pihak jawatankuasa surau juga mengucapkan tahniah kepada Encik Sazali Sani, jemaah surau, kerana menerima menantu pertama beliau. Majlis resepsi berlangsung di Dewan Cempaka, Silveritage, Medan Gopeng. Malam semalam, para jemaah dijemput mengisi majlis doa selamat di rumah Encik Sazali.

Wednesday, September 7, 2011

JEMPUTAN KE MAJLIS HARI RAYA SURAU AL-HIDAYAH

Ipoh, Rabu: 7.9.11 / 9 Syawal 1432

Mesyuarat Jawatankuasa Surau sebentar tadi (antara Maghrib dengan Isya') memutuskan bahawa tarikh majlis ditetapkan pada hari Sabtu, 24 September 2011, bersamaan 26 Syawal 1432 bertempat di perkarangan surau. Sehubungan itu, semua ahli jemaah dan penghuni kejiranan surau, termasuk masyarakat bukan Islam dialu-alukan hadir. Insya-Allah, menu yang disediakan pasti menawan selera! Majlis bermula selepas solat Asar, iaitu 4.30 petang. 
sebahagian AJK surau yang hadir

Mesyuarat turut membincangkan projek pendawaian semula elektrik memandangkan makin banyak alat elektronik dan pendingin hawa digunakan. Atas pertimbangan keselamatan dan keselesaan jemaah, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Alhamdulillah, sumbangan derma yang diterima ialah sebanyak RM8,840, iaitu melebihi  jangkaan kos asal RM8,500.
 3 orang jawatankuasa kanan: Haji Mokhtar, Haji Shafie, Haji Mustaffa
(ketiga-ketiga mereka berlatar belakang profesional luar negara)

Pihak jemaah wanita pula mencadangkan supaya pintu masuk ke ruang solat wanita di aras bumi digantikan. Selain itu, bendahari memaklumkan bahawa dua poin pendingin hawa akan disediakan untuk ruang solat wanita. Maka, sumbangan dua unit pendingin hawa berkuasa kuda 2 amat dialu-alukan.

Projek seterusnya ialah korban sempena Eidul Adha. Satu mesyuarat khas akan diadakan khusus bagi menetapkan pentadbiran ibadah berkenaan.  Jemaah yang berhajat mengambil bahagian diminta bersedia...


Sunday, August 7, 2011

MAJLIS BERBUKA PUASA ERAT UKHUWWAH

Ipoh, Ahad: 7 Ramadan 1432 / 7 Ogos 1432

Iftar Ramadhan ialah agenda tahunan kebanyakan masjid, surau dan organisasi Islam di negara kita. Pihak surau tidak ketinggalan mengambil daya usaha menganjurkan program berkenaan pada tahun 1432 Hijrah ini. Dengan itu, solat Maghrib berjemaah, diikuti solat Isyak dan tarawih dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Memberi makan berbuka puasa sama pahalanya dengan puasa orang yang dijamu. Maka, ahli-ahli kariah dan dermawan telah merbut peluang yang datang hanya sekali dalam setahun itu. Pihak jawatankuasa telah menyelaraskan program seperti yang tertera dalam papan notis surau.
Permohonan doa menjelang detik berbuka puasa termasuk dalam kategori doa mustajab, dan Insya-Allah dimakbulkan oleh Allah. Kebanyakan jemaah tiba pada pukul 7.00 petang untuk menyertai majlis zikrullah dan doa yang dipimpin oleh tuan-tuan imam surau. Waktu berbuka puasa ialah pukul 7.33 petang bagi minggu yang pertama.
Kanak-kanak dan remaja perlu lazim dengan majlis-majlis seumpama Iftar Ramadan. Kejayaan mengajak golongan muda memakmurkan masjid dan surau ialah petanda baik kemajuan Islam pada zaman penuh pancaroba ini. Di balik tirai biru pula ialah ruang untuk kaum muslimat.
Tetamu istimewa majlis iftar yang menjadi giliran Pesiaran Wira Jaya Barat 25 hari ini ialah al-Akh Faiz Choo dan anakandanya, Syafiq Choo dari Pinji, kira-kira 15 kilometer dari lokasi surau al-Hidayah. Beliau ialah kenalan akrab Tuan Haji Shafie, Timbalan Pengerusi Surau al-Hidayah. Kedua-dua beranak juga sudah biasa dengan masakan pedas...

SELAMAT BERPUASA

Wednesday, May 25, 2011

SEDEKAH SEKAT BALA

Ipoh, Rabu: 25/5/11 = 21 Jamadil Akhir 1432

Kuliah Maghrib bulanan oleh Ustaz Yaakub bin Mohd Din diteruskan. Bab yang dibicarakan ialah tentang sedekah sunat. Orang Islam yang memiliki lebihan harta kekayaan dan telah menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, kerabat dan jiran yang memerlukan hendaklah melazimkan amalan bersedekah.
jemaah menatap salinan petikan kitab bab sedekah kuliah Ustaz Yaakub

Biodata Ustaz Haji Yaakub bin Mohd Din
Negeri kelahiran:  Kedah Darul Aman
Kelayakan akademik:  Sarjana Muda Pengajian Islam, Dip.Pend. (UKM)
Pengalaman kerjaya:  Ketua Sektor Pendidikan Islam, JPN Perak (bersara)    
                               :  Ketua Unit Pendidikan Islam /
                                  pensyarah kanan Politeknik Ungku Omar, Ipoh
Pengalaman organisasi:   Exco Abim Negeri Perak
                                  :   Yang Di-Pertua Abim Daerah Kinta
                                 

Sedekah hendaklah diikhlaskan semata-mata mengharapkan redha Ilahi. Dilarang mengherdik peminta sedekah, sebaliknya jika hendak menolak, lakukan dengan bermanis muka. Sebaik-baik sedekah dirahsiakan.

Tuesday, May 24, 2011

KANUN QAZAF KEPADA PENUDUH ZINA TANPA SAKSI (SYARIAH JURISPRUDENCE)

Ipoh, Selasa: 24/5/11 = 20 Jamadil Akhir 1432

Kuliah Maghrib kai ini diisi oleh al-Fadil Ustaz Fahmi. Kuliah bulanan beliau masih di bawah tajuk tatacara pertuduhan zina. Malam ini, tumpuan terhadap hukuman qazaf, iaitu 80 sebatan kepada penuduh yang gagal mengemukakan 4 orang saksi yang adil.
kuliah Ustaz Fahmi

Hukum qazaf bagaimanapun dikecualikan kepada penuduh kanak-kanak yang belum cukup umur, atau ibu bapa yang tertuduh. Sebaliknya, hakim akan menggunakan hukum ta'zir. 

Keterangan yang menggunakan bahan bukti hanyalah sebagai sokongan dan tidak boleh mengatasi syarat saksi yang adil tadi. Sebarang sumpah juga mestilah atas arahan hakim dan dilafazkan di tempat yang diisytiharkan sebagai mahkamah. Islam amat memelihara kepentingan maruah manusia.

Sunday, April 24, 2011

Saturday, February 26, 2011

JEMAAH CERITA PENGALAMAN DI MESIR

Perbincangan tentang kejatuhan rejim diktator Hosni Mubarak di Mesir mungkin telah sejuk sedikit. Namun, catatan sejarah besar itu akan terus dianalisis oleh para sarjana dalam pelbagai disiplin, selain mendapat perhatian perisikan seantero dunia. Kebanyakan rakyat Malaysia yang berada di bumi Mesir semasa revolusi tempoh hari ialah golongan pelajar di Universiti al-Azhar, sama ada dalam bidang pengajian Islam atau perubatan.
Ustaz Fadli

Sempena sambutan Maulid Surau al-Hidayah 1432 Hijriyyah baru-baru ini, tiga orang ahli kariah surau yang sedang menuntut di sana telah sudi berkongsi pengalaman. Ustaz Fadli, pelajar al-Azhar cawangan Tamta menceritakan tentang kekecohan yang timbul apbila kira-kira 3,000 orang banduan mengambil kesempatan lolos dari penjara. Selain itu, tentera Mesir tidaklah sebengis yang digambarkan media, sebaliknya bersikap mesra apabila bersedia melayan kanak-kanak bergambar dan menaiki kereta kebal
Saudara Yob, pelajar syariah

Pengalaman lucu bercampur cemas ialah bas tidak akan berhenti untuk menurunkan penumpang lelaki. Mereka terpaksa terjun daripada pintu bas yang sedang bergerak. Risiko terjatuh perlu ditanggung sendiri.

Para profesor dan pensyarah universiti hanya dibenarkan memberi kuliah di kampus. Jika mereka didapati cuba memberi kuliah kepada masyarakat awam, mereka akan disumbat ke dalam penjara. 

Perubahan politik Mesir diharapkan bakal membuka ruang kepada penyebaran ilmu dalam masyarakat luas. Hanya dengan ilmu umat Islam akan menjadi lebih kuat dan lebih mulia, Insya-Allah.

Thursday, February 17, 2011

PERARAKAN MAULID PECAH TRADISI

Ipoh, Selasa: 12 Rabiul Awwal 1432 / 15.2.11

Sempena sambutan Maulidur Rasul, pihak jawatankuasa surau telah memutuskan untuk menganjurkan program perarakan sekeliling taman perumahan berhampiran. Sepanduk utama perarakan bertemakan "Islam memupuk kasih sayang". Hampir 150 orang ahli kariah tua, muda, kanak-kanak dan tidak ketinggalan bayi turut menyertai perarakan yang bertujuan memasyarakatkan Islam dalam kalangan masyarakat sekitar yang memiliki komposisi 50:50 berdasarkan nisbah penduduk Islam dengan bukan Islam.

Sambil berarak, para peserta melaungkan selawat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan cara yang begitu beradab dan sopan. Bermula dari perkarangan surau, laluan perarakan juga meliputi Taman Desa Indah, dan Taman Ipoh Jaya Timur. Semua peserta menunjukkan disiplin yang tinggi dalam perarakan yang memakan masa kira-kira setengah jam itu, bermula pukul 9.00 pagi.

Kenderaan yang lalu-lalang juga memberikan kerjasama dan sokongan. Peserta mengenakan pakaian yang berwarna-warni. Cuaca pada pagi itu juga begitu cerah dan nyaman sekali.


Lihatlah srikandi cilik yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada apa-apa pun. Mereka begitu mengerti tentang peranan kaum hawa dalam dampak risalah tawhid di tengah-tengah masyarakat luas. Generasi muda ini pada suatu masa kelak akan menjadi barisan hadapan dalam kepimpinan isi rumah masyarakat Islam.


Perarakan Maulidur Rasul ialah lambang dan syiar sebuah perjalanan risalah tawhid. Walaupun amalan ini muncul dalam kalangan masyarakat Islam yang terkemudian, kebijaksanaan mestilah dikekalkan. Mudah-mudahan usaha kecil menzahirkan rasa cinta yang seutuhnya terhadap perjuangan Baginda Junjungan akan dijelmakan pula dalam seluruh urusan kehidupan...

Tuesday, February 8, 2011

PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH

AHAD: 13 FEBRUARI 2011 / 10 RABIUL AWAL 1432

GOTONG-ROYONG DAN TAKLIMAT PERSEDIAAN

MASA:  9.00 PAGI



SELASA:  15 FEBRUARI 1432 / 12 RABIUL AWAL 1432

PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

8.30 pagi:   Hadirin dan Peserta mengambil tempat

9.00 pagi:  Taklimat Program

9.15 pagi:  Perarakan di laluan sekitar taman

9.45:   Jamuan ringan

10.15 pagi:   Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Qur'an

10.30 pagi:  Persembahan Nasyid / Multimedia

10.45 pagi:   Ceramah Maulidur Rasul

12.15 tengah hari:   Jamuan tengah hari

1.15 petang:  Persediaan Solat Zuhur


Tema Sambutan:  ISLAM MEMUPUK KASIH SAYANG

(Islam Promotes Love and Peace)


Penetapan Laluan Semasa Mesyuarat Jawatankuasa